ukk/kaunseling


:: Arkib Sahabat Kaunseling / AUGUST-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Saya mempunyai rakan yang terjebak dalam zina. Hidupnya serba tak kena. Semakin bertambah-tambah masalah.Walaupun dia sedar kesilapannya, tetapi dia seolah-oleh tidak endah terhadap perara ini. Mohon sedikit pendangan daripada pihak Nisa. Terima kasih

  

   “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

Adik, terima kasih kerana membawa soalan ini untuk dibincangkan. Bukan sahaja perbuatan zina itu larangan Allah, bahkan berjinak-jinak dengan punca-punca terjadinya zina juga dilarang.

Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan.’ (Al-Isra’:32)

Imam Ahmad mengatakan:

”Aku tidak tahu ada dosa yang lebih besar setelah membunuh jiwa daripada zina.”

Kepapaan boleh berlaku kerana perbuatan zina menyebabkan lahirnya anak zina yang tiada hak untuk mendapat harta pusaka.

Sabda Rasulullah,

Sabdanya: ”Yang paling banyak menjerumuskan manusia ke dalam neraka adalah mulut dan kemaluan.” (Riwayat Tirmizi)

Ibnu Mas’ud r.a berkata: ”Tidaklah muncul riba dan zina pada suatu daerah kecualo Allah akan mengizinkan kehancurannya.”

Al Imam al-Zahabi menukilkan sebuah hadis yang menjelaskan apabila seseorang hamba melakukan perzinaan tercabutlah iman dari dirinya sebagaimana ia mencabut pakaian dari badannya. Iman itu berada di atas kepalanya seperti bayangan. Setelah ia berhenti dari melakukan zina, iman itu kembali semula kepadanya. Inilah yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan Imam al-Baihaqi. Apa yang lebih dikhuatiri ialah ketibaan ajal ketika iman telah tercabut dan belum sempat kembali.

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Jauzi, seseorang yang berzina akan ditimpa 6 sifat yang membinasakan dirinya; tiga di dunia dan tiga lagi di akhirat. Tiga sifat di dunia ialah hilang kehebatan air muka, pendek umur dan berterusan dalam keadaan papa kedana. Manakala tiga di akhirat pula ialah mendapat murka Allah, hisab yang buruk dan mendapat azab yang pedih dalam neraka.

Akibat daripada berleluasanya zina maka lahir penyakit berjangkit dan kerosakan akhlak dalam masyarakat. Ia menimbulkan pecah belah keluarga dan krisis rumah tangga. Dan kerosakan keturunan manusia dengan lahirnya anak gampang. Kesemua ini menyebabkan keruntuhan budaya dan tamadun hidup manusia. Apabila berlaku demikian, hati terhijan daripada taufiq dan hidayah daripada Allah S.W.T.Memohonlah kemaafan daripada Allah SWT atas segala kemungkaran yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat.

“Dialah Allah yang menerima taubat hamba-hambaNya dan memaafkan perbuatan-perbuatan yang jelek (dosa): (Surah: Assuya ayat 25)

“Hai orang-orang yang beriman, taubatlah kamu dengan sungguh-sungguh kepada Allah, semoga Tuhan menghapuskan dosa-dosamu dan memasukkan kamu kesyurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai.” (Surah: Attahrim: ayat 8.)

Semestinya seseorang perlu berusaha mengelakkan daripada perkara-perkara yang mendekatkan pada zina:

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. Sabdanya : “Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Dua mata, zinanya memandang. Dua telinga, zinanya mendengar. Lidah, zinanya berkata. Tangan zinanya memegang. Kaki, zinanya melangkah. Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti dan tidak mengikuti.”   (Hadis Shahih Muslim No. 2282)

“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali? dengan (alasan) yang? benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni) akan dilipat gandakan adzab untuknya pada hari Kiamat dan dia akan kekal dalam adzab itu, dalam keadaan terhina kecuali orang-orang yang bertaubat …”   (Al-Furqan: 68-70).

Dan di dalam Musnad Imam Ahmad, diriwayatkan dari Rasulullah:

“Pandangan itu adalah panah beracun dari panah-panah iblis. Maka barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari kecantikan seorang wanita, ikhlas karena Allah, maka Allah akan memberikan di hatinya kelezatan sampai pada hari Kiamat.”

Dalam masa yang sama,carilah jalan utuk memperbaki diri dan meningkatkan iman. Carilah:

      Guru/seseorang yang boleh membimbing ke jalan yang lurus bagi mengisi kekurangan

      Carilah sahabat/kawan yang positif dan cemerlang supaya dapat membimbing kita.

      Cari jalan penyelesaian yang betul untuk setiap masalah yang telah timbul.

      Cari keredhaan ibu bapa dengan mendapatkan restu mereka dalam apa jua yang dilakukan.

      Carilah diri kita yang sebenarnya. Muhasabah diri sendiri setiap hari sebelum tidur. Adakah kita khalifah yang diamanahkan untuk mentadbir bumi atau pemusnah yang menantikan balasan di akhirat?

Berubahlah cara pemikiran corak kehidupan dari yang negatif kepada yang positif:

      Tunaikan semua rukun iman dan rukun Islam yang diketahui dan telah dipelajari kerana itu adalah tanggungjawab asas yang perlu dipenuhi.

      Dari seorang yang hanya berharap, bertukarlah kepada seorang yang berusaha.

      Dari seorang yang hanya meminta, tukarlah kepada seorang yang memberi. Jika kita mempunyai rezeki lebih, infaqkanlah kepada yang memerlukan.

      Dari seorang yang hangat-hangat tahi ayam, tukarlah kepada seseorang yang melakukan sesuatu secara konsisten dan bersungguh-sungguh.

Akhir kata, Islam adalah agama yang memelihara hambanya. Di sebalik pengharaman pasti ada hikmahya.

 

 Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

:: Arkib Sahabat Kaunseling / AUGUST-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Saya mempunyai seorang kawan, yang telah terjebak ke kancah perzinaan. Bagaimanakah cara untuk saya mendapat kekuatan bagi menegurnya. Saya tidak mahu jika saya berdiam diri, sedangkan saya tahu dosa yang dia lakukan..kelak saya akan disoal oleh Allah.

Apakah tips atau modal yang boleh saya gunakan untuk memancingnya agar kembali bertaubat.

 

  

   “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

 Terima kasih atas keparcayaan kepada nisa. Sememangnya sahabat anda memerlukan panduan, bukan sekadar tulisan. Tetapi, di sini kami cuba apa yang termampu, sebagai saudara seislam. 

Mungkin dia memerlukan satu asas yang kukuh untuk menguatkan pendirian dan ketetapan hati..

Di sini di cadangkan, minta dia membeli/ mendapatkan/ diberikan buku yang dia perlukan, yang boleh dia terima dan benar2 ingin tahu yang menjelaskan tentang pandangan Islam terhadap ada yang dia alami. 

Disini, di berikan contoh bacaan atau buku dan rasionalnya:

1. Berkaitan Penawar Hati Wanita :: Secara umumnya berada dalam keadaan yang gelisah. Bagi saya mungkin dia juga ingin mencari penyelesaian kepada kegelisahan dia. Bayak buku mengajarkan tenang ketenangan hati menurut Islam. Buku yang baik ataranya ialah Penawar Hati tulisam Imam AlGhazali. Tidak lupa juga, sumbaer Ilmu yang paling utama, iaitu ALQuran, amat dinasihatkan untuk dia banyak membaca Al-Quran.

Disamping itu, mintalah supaya berusaha mambaca tafsir alquran sebagai jalam memahami banyak rahsia dalam hidup melalui Al-Quran mengenai semua banyak perkara: hati, taubat, motivasi diri, kekuatan iman, perkahwinan dan banyak lagi.

2. Berkaitan Ciri2 Wanita Solehah/ Syurga/ Isteri Rasulullah :: Supaya dia suka pada kehidupan yang dilalui oleh mereka. Dan pada masa yang sama benar2 menyesali cara hidup yang dilaluinya. Disamping mempunyai kekuatan baru. Tak semestinya buku sebenarnya, tetapi tulisan/ email yang menunjukkan betapa indahnya mencontohi mereka, juga boleh membantu.

3. Berkaitan Pekahwinan menurut Islam/ persediaan perkahwinan :: Memandangkan dia ada dilema tentang cinta dan perkahwinan, di harap dia dapat faham bnayak perkara tentang apa yang diserabutkan.
 

Mudah-mudahan perkara yang diketengahkan ini membantu. Semoga ia membantu diri kita juga untuk lebih dekat pada Maha PeNCIPTA….  

 

 

 

 

 

Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

 

 

 

:: Arkib Sahabat Kaunseling / JUNE-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Assalamualaikum, kak…

Apa yang ingin saya mohon nasihat adalah berkenaan prestasi pelajaran saya.

Sejak saya masuk sekolah menengah, saya dah tak serajin seperti di sekolah rendah dulu. Kalau di sekolah rendah dulu, saya rajin buat latihan dan akhirnya saya mendapat keputusan UPSR yang cemerlang.

PMR hanya tinggal beberapa bulan. Apakah saya masih punya harapan? Hujung bulan pula, kelas akan dirombak mengikut pencapaian. Ini menjadikan saya makin tertekan kerana malu jika saya akan dipindah ke tempat yang paling corot…Apa patut saya lakukan kak?

 

  

   “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

Assalamualaikum, adik,,,
 
Tahniah, kerana adik sendiri tahu potensi diri adik! Adik juga tahu di mana kelemahan adik.
Sebenarnya harapan dan kekuatan bukannya datang daripada kak Nisa, tetapi datang nya daripada Allah. Tiada daya dantiada upaya melainkan kekuatan daripadanya. Di sini, insyaAllah kak Nisa cuba membantu adik untuk melihat dan mengambilkira beberapa perkara.
 
Memandangkan kekuatan sebenarnya datang daripada Allah, pastikan kita melakukan perkara- perkara yang disuruh Allah dan berusaha meninggalkan larangannya terustamanya solat. Solat terlalu banyak mendidik diri kita, antaranya kusyu’ melatih kita untuk stay focus. Dan telalu banyak bacaan dalam solat yang memberi morivasi dan kekuatan kepada kita.
Hebatnya Allah mendidik kita melalui solat setiap hari lima kali sehari…
 

 

 

Sekarang adik masih ada kurang daripada 100 hari lagi kan? Antara yang paling utama ialah menguruskan pemikiran adik supaya fokus. Untuk memastikan kita fokus, pastikan pada masa yang sama hati kita tenang/ tak terganggu, kerana kita pun sebenarnya lebih mudah untuk tetrganggu sekiranya hati kita tidak tenang.

 

Sebagai contoh:

 

1. Contohnya dengan banyakkan bersembahyang dan baiki sembahyang supaya Allah tenangkan hati kita. Berusaha untuk khusyu’ dalam solat. Berusaha sembahyang bersama2 ahli keluarga. Berusaha untuk sembahyang sunat.

 

2. Selalunya umur linkungan umur adik ni, pasti ada serba sedikit masalah dengan kawan. Kalau boleh, jangan banyak terganggu dengan masalah seperti ini. Sebagai contoh; ditinggalkan best friend, bergaduh dengan kawan rapat, dsb. Cuba elakkan semua ini atau cuba untuk tidak terlalu risau tentang semua ni. Kalau adik banyak menggunakan masa berfikir tentang ini, banyak masa akan terbuang dan minat belajar boleh berkurang kerana banyak perkara lain yang lebih penting dalam diri.

 

3. Try you best! Kak Nisa sendiri tak boleh menjamin apa2. Tapi yang pasti, belum cuba, belum tahu.  Mungkin juga adik tak sedar sebanarnya adik dah banyak belajar dalam kelas sewaktu cikgu mengajar.

 

4. Dalam keadaan begini, banyakkan berjumpa guru kerana mereka banyak tahu mengenai sealan-soalan yang biasa keluar dan pada masa yang sama meningkatkan motivasi diri. Jangan takut! Kerana ini semua untuk masa depan adik.

 

5. Ambil juga peluang belajar dan bertanya denagn kawan2. Ini memudahkan Hanisah untuk lebih faham. Dan pada masa yang sama menjimatkan masa. Tetapi janganlah mengharapkan tunjuk ajar rakan sahaja. Adik juga perlu menunjukkan usaha untuk score dalam PMR.

 

6. Pada masa ini, lakukan sebaik mungkin. Cuba fikir baik2, samada perlu atau tidak adik hendak risau tentang penempatan kelas pada waktu ini? Sekiranya adik terlalu risau tentang ini, ia mungkin menyebabkan adik menjadi lebih tertekan. Anggaplah ia sebagai cabaran dan latihan sebelum PMR sebenar. Apa yang lebih penting sekarang adalah fokus untuk peperiksaan percubaan dan peperiksaan sebenar.

 

7. Banyakkan berbincang soalan dan jawapan soalan peperiksaan tahun2 lepas dan banyakkan membuat latih tubi. Dalam masa yang sama sebenarnya adik sedang belajar.

 

8. Adik boleh juga membeli buku tips menghadapi peperiksaan yang amat banyak di pasaran. ia banyak membantu. Sebenarnya kita bukan sahaja perlu bersedia dari segi ilmu, tetapi perlu bersedia secara keseluruhan, tahu tips2 menjawab soalan, tahu mana yang perlu didahulukan dan mana yang perlu dikemudiankan.

 

9. Akhir kata, sebelum kak Nisa mengakhiri tulisan, pastikan apa yang kita lakukan mendapat restu mak ayah ya. Pastikan kita jaga percakapan kita dengan mereka dan berusaha meninggalkan apa yang Allah larang. Mudah-mudahan semua usaha kita ni, menyebabkan Allah lebih mudah menerima doa kita.

 

SEMOGA BERJAYA!

 

 

Salam sayang. 

 

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

:: Arkib Sahabat Kaunseling / AUGUST-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Assalamualaikum.

Untuk kebaikan umum, bolehkan kak NISA’ memberi pandangan berkenaan ”cinta terlarang dengan kaum sejenis – lelaki kepada lelaki/ atau perempuan kepada perempuan”, untuk perkongsian & manfaat umum.

Rata-rata mengakui ia agak sensitif untuk diutarakan secara umum, namun di celah2 masyarakat kita, masalah sebegini tetap terdapat pada segelintir. Justerus, di harap kupasan ini dapat memberi manfaat kepada yang memerlukan. Dan turut memberi saya input yang baik untuk turut saya menjadikan bahan penerangan kepada yang lain.

 

TERIMA KASIH sekali lagi saya ucapkan kepada Kak Nisa.

- Kaum Adam - 

 

 

  “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

 waalaikumsalam,,,

Terima kasih atas soalan yang diberikan, sekaligus memberi penghargaan kepada nisa’ untuk berbicara ke seluruh insan tanpa membezakan adam & hawa.

Sebagai tambahan kepada respon kami dibawah, harap saudara dapat luangkan masa, membaca karangan di sini http://saifulislam.com/?p=370, tajuk cinta songsang. kupasan yang mendalam,…

 

Usia remaja di awal 20an merupakan usia yang memerlukan pengorbanan atau mujahadah yang tinggi untuk mengawal ketidak seimbangan emosi dan gelodak nafsu. Kuatkanlah semangat dan kembali berbaik sangka dengan Allah terhadap mengubah diri peringkat demi peringkat. Yakinlah, bahawa Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hambaNya, Dia menguji pada kadar kemampuan hamba-hambaNya hadapi.  Yang Maha Pengasih berfirman “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Al-Baqarah:286).

 

Dalam meghadapi dugaan sebegini, ia bukanlah alasan untuk kita mengikut hawa nafsu kita. Jagalah seluruh pancaindera kita supaya dapat memelihara hawa nafsu. Mata, telinga, tangan dan hati semuanya memainkan peranan masing-masing. Berusahalah menjauhkan dari persekitaran atau keadaan atau sesiapa yang menggalakkan persaan tersebut. Janganlah kerana mempunyai perasaan tersebut, seseorang memilih cara hidup yang tidak mengikut syariat.

‘Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah kejahatan yang sangat keji dan sejahat-jahat jalan’. (al-Isra’:32).

Kedua-dua perbuatan itu akan mengundang pelbagai kerosakan dan kejahatan yang lain. Allah tidak akan menghukum insan yang ditimpa ‘masalah’ berkenaan, atas perasaan tersebut, tetapi proses merealisasikan perbuatan itu akan mengundang kemurkaan dan mendatangkan hukuman daripada Allah. Hukuman/azab Allah itu jika tidak datang dalam bentuk derita fizikal seperti penyakit, ianya akan datang dalam bentuk azab batin seperti ketaktenangan jiwa. Pepatah Melayu kata, ‘sesal tak sudah’.

 

Meski ada kajian saintifik yang mendakwa bahawa gejala kehendak luar tabi’i ini sesuatu yang natural kerana ianya dirangsang faktor genetik, akak harap kita tidak terpedaya untuk menjadikannya justification untuk membiarkan diri meneruskan minat pada kaum sejenis. Pencipta kita telah mengharamkan perhubungan sejenis sejak manusia diciptakan lagi. Dia menjadikan setiap makhluqnya berpasang-pasangan agar kita saling mendapat ketenangan dan kebahagiaan dari satu sama lain, sebagaimana Dia firmankan “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar-Rum:21).

 

Sudah pasti kita tidak mahu keadaan ini berlanjutan. Justeru, lakukanlah sesuatu sebagai usaha mengubah keadaan kepada yang lebih baik. InsyaAllah jika segalanya kerana Allah, pasti ada balasannya. Akak cadangkan individu yang diuji sebegini melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti kebajikan. Aktiviti kebajikan akan membina kehidupan sosial yang sihat.  Insya Allah kita akan bertemu dan bersahabat dengan rakan-rakan yang mahu saling membaiki diri, kalian akan menjadi teladan buat satu sama lain. Sibuk beraktiviti begitu akan mengurangkan masa adik melayan fikiran sendiri, mengelakkan adik berfantasi perkara yang bukan-bukan. Ingatlah, banyak perkara buruk/maksiat bermula dari cetusan fantasi minda, seterusnya merebak kepada perbuatan.  Ingatlah, satu maksiat tanpa taubat akan menjerumus seseorang kepada maksiat yang lain. Untuk menghalang diri dari perbuatan mungkar sebegini, adik memerlukan kekuatan fikiran dan azam.  Ramai anak muda sekarang yang menganggap menonton aksi lucah itu perkara biasa, demi memenuhi rasa ingin tahu dan nafsu.

 

Akak tak nafikan untuk membina kekuatan dalaman ini adalah satu proses berperingkat. Individu ini perlu meningkatkan dan menjaga solat fardhu, seringkan solat-solat sunat terutama solat taubat dan tahajud.  Solat, zikir, dan bacaan Al-Quran pendinding diri terbaik. Amalan-amalan ini menghalau syaitan dari menghembus-hembus nafsu kita untuk melakukan perkara mungkar.  Dan paling utama amalan-amalan ini mendekatkan diri dengan Allah. Setiap aktiviti itu adalah sesi kita berdoa kepadaNya.  Doa yang sungguh-sungguh meningkatkan kekuatan jiwa dan fikiran untuk mencapai apa yang kita ingini insya Allah. Berfikiran positiflah terhadap kesukaran-kesukaran yang dihadapi, anggaplah segala kesukaran tersebut adalah cara Allah untuk mengekalkan diri adik dalam jalan kebaikan.

 

“Barangsiapa yang Allah mahukan dirinya berada dalam kebaikan, diujinya dia itu dengan kesusahan” (Hadith Sahih Bukhari & Muslim).

Sekiranya perlu, dapatkan bantuan daripada pihak yang dapat membantu dalam bidang masing-masing, seperti doktor, ahli psikologi, ustaz/ustazah, dan kaunselor. Akhir kata, ambillah peluang bulan ramadhan ini untuk meningkatkan mujahadah dan menghampirkan diri kita kepada Allah.

 

 

Salam sayang,

Kak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

 

 

 

:: Arkib Sahabat Kaunseling / AUGUST-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Assalamualaikum kak nisa,
keadaan saya kini, ia agak mengelirukan diri. saya ditakdirkan berada di institusi yang sama dengan lelaki berkenaan, namun saya tegas untuk tidak pernah berjumpa dan hanya bersms. Namun sekali lagi selepas itu, kami bermuhasabah dan menghentikan semua itu.

ustazah saya pernh mengingatkn saya, kita perlu doakan jika benar dia jodoh kita minta agar Allah menjaga dan memelihara hubungan kami, namun jika dia bkn jodoh kita, minta Allah jauhkn dirinya dari kita.

benarkah dia jodoh saya atau sebaliknya. saya harap sangat kak nisa sudi memberi nasihat yang terbaik untuk saya hadapi ujian hati ni.. saya merasakan kak nisa’ sebagai kakak sendiri..  

 

 

  “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

Waalaikumussalam

adik yg dirahmati Allah, pertama sekali akak ucapkan terima kasih kerana adik meletakkan kepercayaan pada kakak untuk berkongsi masalah yang adik hadapi.

melihatkan kepada permasalahan yang adik hadapi, kakak berpendapat ini adalah ujian hati buat adik. Seperti yang pernah kakak katakan pada masalah2 sebelum ini, manusia itu diciptakan dengan mempunyai hati dan perasaan saling tertarik kepada jantina yang berlainan. Tidak ada seorang manusia pun yang tidak dilahirkan dengan perasaan itu. Jika tidak, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan insan itu. Islam tidak pernah menghalang umatnya saling berkasih sayang,  tetapi perasaan itu perlu disalurkan dan dinikmati pada jalan yang halal lagi diredhai Allah, yakni perkahwinan. Inilah keistimewaan yang ada pada Islam, menjaga kehormatan diri dan keselamatan akidah umatnya dari akar umbi lagi..

 

Berbalik kepada masalah adik tadi,

Mari kita sama-sama rungkaikan masalah ini satu persatu.

Adik pernah mempunyai ’sejarah perasaan ’ dengan kawan lelaki yang adik ceritakan di atas. Dan adik pernah berhenti berhubung dengannya atas prinsip mahu menjaga batas pergaulan seperti mana yang disyariatkan Islam. Terus terang kakak katakan, kakak kagum dengan ketegasan adik demi menjaga syariat Islam. Tidak ramai yang memiliki pendirian setegas adik kerana di zaman yang penuh dengan fitnah dunia ini terlalu banyak kerosakan yang berlaku disebabkan oleh pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Kini, ditakdirkan adik bertemu semula dengan kawan lelaki adik itu. Bukan setakat bertemu di institut pengajian sama malah belajar dalam bidang yang sama, dan berada dalam kumpulan perbincangan yang sama.

 

Disebabkan persamaan-persamaan itu, timbul  kekeliruan di benak fikiran adik, adakah kalian ditakdirkan jodoh untuk satu sama lain atau ini satu bentuk ujian untuk adik. Persoalan jodoh, rezeki, maut adalah urusan Allah yang hanya Dia saja yang mengetahui. Kita boleh menjangka peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang tapi benar atau tidak setiap sesuatu urusan itu adalah termasuk dalam takdir Allah yang diluar kemampuan kita untuk mengawalnya.

 

akak pasti usia adik pada ketika ini adalah sekitar 18 atau 19 tahun, bagi akak satu usia yang cukup muda dan boleh dikatakan baru hendak mengenal dunia. Tahniah, kerana adik terpilih untuk belajar di sebuah institusi yang terkenal, atas kecemerlangan yang adik capai semasa peringkat pendidikan menengah dahulu. Akak juga yakin adik mempunyai cita-cita yang besar untuk dicapai dan azam yang adik tanam seawal adik menerima tawaran menyambung pelajaran di matrikulasi UIA. Kerana itulah akak menyarankan agar adik menilai dan mengingat semula matlamat asal adik datang ke UIA. Adakah untuk mencari ilmu atau untuk menjalinkan hubungan  dengan teman lelaki? akak mohon maaf, kemungkinan pendapat akak ini agak keras tetapi inilah pendapat yang akak rasakan terbaik buat adik.

 

Tentang hubungan dengan kawan lelaki, adik nilailah semula secara keseluruhan, maksud akak dari segi jangka masa panjang dan jangka masa pendek untuk tujuan apakah adik berkawan dengan lelaki secara serius. Baiklah, dari segi perancangan masa depan adik bagaimana?

a.  Adakah adik ingin berkahwin dalam jangka masa yang terdekat (dlm masa setahun akn datang dalam tempoh masih menuntut)  ataupun

b. adik akan berkahwin lagi 5 atau  6 tahun selepas adik tamat belajar ataupun setelah keadaan diri stabil dengan memiliki pekerjaan yang tetap dan sumber kewangan yang kukuh?.

 

Jika a. yang adik pilih (akan berkahwin dalam tempoh terdekat), maka bagi akak tidak salah untuk adik mencari seorang bakal suami yang adik yakini dapat membimbing dan memudahkan urusan adik di dunia dan akhirat. Dalam tempoh berkawan (bertunang) untuk mengenal hati budi bakal pasangan, syariat seharusnya sangat-sangat dijaga.

Jika b. pilihan adik, maka akak sarankan agar adik lupakan niat untuk berkawan rapat (dalam erti kata menjalin hubungan kasih sayang) dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang ini kerana nyata fokus adik pada ketika ini adalah mencari ilmu dalam memenuhi impian mencapai kecemerlangan dan juga memenuhi hasrat ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk melihat adik berjaya. Ketika ini matlamat masa depan (dalam skop perancangan perkahwinan) adik masih kabur2. Kenapa akak katakan begini? Adakah adik sudah bersedia menerima kehadiran seorang lelaki dlm hidup? Kalau adik berkawan dengannya, adik yakin  dapat mengawal diri drpd perkara2 yang melalaikan? Bagaimana dengan pelajaran…bolehkah adik menumpukan sepenuhnya pelajaran sedangkan dlm masa yang sama ada perkara lain yang adik perlu tumpukan juga? Bila dah ada teman, perlu bertanya khabar selalu, kena peruntukkan masa untuk contact selalu.. krn ada hati  lain yang nak dijaga. Karang tak contact ada pulak yang merajuk nanti.. haa kan dah susah hati pulak..  Kena banyak guna duit, masa dan tenaga tu.  Adakah adik yakin kawan lelaki adik itu benar2 akan menjadi suami adik kelak? Kalau tiada jodoh bagaimana pula ya? Tempoh 5  atau 6 tahun itu terlalu lama untuk seorang perempuan berkawan rapat dengan lelaki tanpa ikatan yang sah. Dalam tempoh itu juga, tidak mustahil pelbagai kemungkinan buruk akan berlaku. Sesungguhnya syaitan akan menghasut anak Adam dengan pelbagai cara dan tipu daya yang halus. Memang kita boleh katakan kita akan menjaga batas pergaulan sebaik mungkin, tetapi ingin akak tegaskan rentetan-rentetan maksiat asalnya berpunca dari satu senyuman atau sapaan (salam perkenalan) kemudian daripada salam perkenalan ia akan berlanjutan kepada perbualan atau perhubungan secara maya sama ada sms, telefon dsb… kemudian akan timbul kemesraan dan perasaan sayang antara satu sama lain. dan dari situlah akan timbul keinginan kuat untuk bertemu dan melihat wajah pasangan seterusnya membuat temu janji dan akhirnya ia berlanjutan membuat pertemuan demi pertemuan dan akhirnya terjadilah perbuatan terkutuk yang sangat ditakuti yakni zina. Nazubillahiminzalik. Lelaki dan perempuan umpama magnet, semakin didekatkan, tarikannya akan menjadi semakin kuat antara satu sama lain. Akak bercakap berdasarkan pemerhatian kakak terhadap orang2 sekeliling yang asal2nya mahu menjaga perhubungan sebaik mungkin, namun apa yang menyedihkan…daripada berkawan hanya melalui sms…akhirnya tidak segan silu lagi untuk keluar berdua dan bertemu hingga lewat malam. andaikata setelah adik berhabisan menyerahkan hati pada seorang lelaki, berkawan rapat dan mesra, satu hari ditakdirkan pula berlakunya perpisahan,  sudah tentu adik akan  mengalami kekecewaan dan kesedihan. Apa yang dibimbangkan masalah ini akan memberi kesan pada pelajaran dan emosi adik kelak. Alangkah ruginya masa, wang dan tenaga yang sepatutnya digunakan untuk mencari ilmu sebanyaknya dan membina jati diri seorang muslimah sejati telah digunakan atau dicuri sebahagiannya untuk perkara-perkara yang belum pasti lg hujung  pangkalnya…

 

Akak bukanlah menentang perhubungan  antara lelaki dan perempuan. Bagi akak perasaan yang adik alami ini adalah fitrah yang dimiliki semua insan. Tidak salah bersahabat  antara berlainan jantina, tetapi harus diingat persahabatan itu perlu seiring dengan akhlak dan syariat Islam  dan tidak lebih  atas dasar urusan tertentu seperti menuntut ilmu, urusan gerak kerja persatuan dsb. kita  tidak boleh menafikan perasaan yang hadir tetapi kita boleh mengurus perasaan tersebut dengan sebaiknya agar kita tidak tersalah langkah dalam menentukan jalan hidup yang terbaik buat kita. Tentang jodoh, usahlah adik bimbang, jika benar dialah jodoh adik,  pasti Allah akan temukan juga adik dengannya satu hari nanti sebagai pasangan suami isteri. Jika tidak pun, Allah telah sediakan seorang jodoh yang terbaik buat adik cuma ia akan hadir apabila sudah tiba masa yang benar2 sesuai dan adik betul2 bersedia. Perbanyakkan berdoa moga Allah menemukan ’the right person’ yang dapat membimbing adik dalam urusan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan, lelaki yang baik semestinya untuk wanita yang baik.  Dalam usia sekarang ini, adik gunakanlah sebaiknya untuk mencari ilmu dunia dan akhirat. Perbanyakkan hadir ke majlis ilmu. Aktifkan diri dalam program2 persatuan, atau badan kebajikan..membantu golongan2 yang susah.  Jika adik benar2 manfaatkan masa yang ada ini pada jalan kebaikan, adik akan rasa betapa sebenarnya masa yang adik ada tak cukup pun malah adik takkan sempat memikirkan perkara2 lain yang tidak jelas manfaatnya. Berdampinglah dengan kawan2 yang baik dan yang dapat  mendekatkan diri dengan agama… dan yang paling penting sekali, apa jua pun masalah yang adik hadapi, pulangkanlah ia semula pada Allah krn setiap sstu yang berlaku dlm hidup kita ini berlaku atas izinNya jua, dan krn itu seharusnya kita menjadikan Allah sebagai guideline kita yang utama dlm membuat apa jua keputusan dlm hidup.

 

Kekalkan sifat malu dan ketegasan yang ada pada adik…teruskan usaha membentuk peribadi indah wanita solehah, srikandi agama.. Moga sentiasa beroleh kecemerlangan hakiki dunia dan akhirat J

 

 

Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

 

 

 

 

 

 

 

:: Arkib Sahabat Kaunseling / JULY-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

 

Assalamualaikum,

 

Kak Nisa, secara peribadi saya jenis yang menjaga adab & batas pergaulan dengan pelajar lelaki, termasuk tidak bersms atau telefon. Namun setelah tamat sekolah, saya telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi internet (tanpa disengajakan). Lama-kelamaan kami menjadi akrab, dan berhubung melalui sms. Lantaran tiba-tiba masing-masing seperti tersedar ia ‘lagha’, maka kami berazam untuk bertaubat malam itu juga dan berhenti berhubung. 

 

Kak Nisa, kalau boleh saya ingin mengetahui bagaimana cara terbaik & dibenarkan untuk kita mengenal lelaki. Namun tidak dinafikan, sepanjang usia perkenalan, banyak kebaikan diperolehi dalam merubah dirinya dari jahil kepada mencintai agama. ini menyebabkan saya tertarik. namun, jika jalan ini salah, saya sanggup tinggalkan perkara ini.

 

  

   “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

 

Adik yang dirahmati Allah.

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan yang menguasai hati-hati manusia, dan Dia sahajalah yang Maha halus lagi mendalam tentang apa yang ada pada hati kita.

 

Kita tidak boleh lari dengan fitrah manusia, lelaki dan perempuan itu ada keinginan untuk hidup berpasangan dan punyai naluri semulajadi rasa suka dan sayang kepada jantina yang berbeza.

 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah, Allah menciptakan isteri-isteri bagi kamu dari jenis kamu sendiri, agar kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Kemudian Allah menciptakan kasih-sayang di antara kamu (antara suami-isteri)”

[Surah Ar-Ruum: 21]

Maka wujudlah istilah ber’couple’, berkawan biasa, berpakwe makwe dan berkawan secara istimewa. Istilah-istilah yang sering dikaitkan dengan pergaulan di antara lelaki dan perempuan sebelum menempuh alam perkahwinan. Allah menciptakan kasih dan sayang untuk manusia gunakan, yang sebenarnya hanyalah cebisan kecil yang dipinjamkan kepada kita buat sementara waktu kerana dunia ini bukanlah sesuatu yang kekal. Maka, jadilah orang yang mensyukuri nikmat Allah dalam setiap tindak tanduk kita dengan memilih tindakan-tindakan yang diredhai olehNya.

 

Kenalpasti apa matlamat adik berkawan dengannya. Adakah sekadar ingin mengisi masa lapang atau sekiranya dia lelaki yang baik, dan berhasrat nak menjadikan dia teman hidup, jagalah batas pergaulan sebaik-baiknya. Kerana sebagai manusia ita terlalu mudah untuk tertipu dengan tipu daya syaitan. Fahamilah bahwa perkahwinan adalah sesuatu tanggungjawab yang bakal dipersoalkan.

 

Sesungguhnya Allah akan menyoal tiap-tiap penggembala akan apa yang digembalanya, adakah dia menjaganya dengan baik, atau dia menyia-nyiakannya, sehinggalah seorang lelaki itu akan disoal tentang ahli rumahnya                                             (Riwayat ibnu Hibban)

 

Indahnya Islam, dalam bab pergaulan lelaki dan perempuan pun turut ditekankan. Pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim perlulah tidak melanggar batas-batas syariat. Antara batas-batas yang perlu dijaga adalah aurat dan akhlak. Sekiranya adik berkomunikasi, elakkan dari bercakap perkara-perkara yang lalai dan mendekatkan pada kelalaian.

 

Tiada seorang lelaki yang bersendiri dengan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiganya                                                                           (Riwayat At-Tarmizi)

 

Allah menguji manusia dengan pelbagai cara termasuklah hati kita. Mudah-mudahan kita menjadi seorang yang insaf. Apa yang terkandung dalam hati manusia adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, justeru, permainan halus ini sekiranya tidak diuruskan dengan keimanan dan mohon petunjuk daripada Maha Pencipta, ia mudah membawa kita kepada kelalaian. Sebagai persediaan kepada cabaran tersebut, kita perlu mempunyai sistem pertahanan keimanan yang kukuh. Hebatnya Islam melatih kita setiap hari untuk mengawal diri dari kelalaian melalui solat, al-Quran dan sunnah nabi.

 

Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada keburukan dan kemungkaran                                                                                                                                (Al-Ankabut:45)

 

Mengenai adik tertarik dengan lelaki tersebut dan bagaimana mengenali lelaki yang baik. Mohonlah petunjuk daripada Allah, kerana segala kekuatan dan petunjuk datangnya daripada Allah yang lebih mengenali kesesuaian hamba-hambaNya. Nabi s.a.w menasihatkan orang-orang yang akan menempuh perkahwinan kelak supaya mengutamakan orang yang beragama. Sekiranya perlu berbincang, berusahalah untuk menjaga batas sebaik mungkin. Gunakan pihak ketiga sekiranya perlu.

 

Kak Nisa doakan adik dikurniakan suami yg boleh membimbing adik dalam urusan dunia dan juga akhirat. Jangan segan mendapatkan bahan bacaan tentang perkahwinan dari perspektif Islam, supaya kita membuat keputusan berpandukan ilmu. Semoga diberikan ketetapan pendirian.

 

“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”                                                        (Surah Ibrahim:27)

 

Allah knows best.

Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

:: Arkib Sahabat Kaunseling / JUNE-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Saya ada kawan. Baru-baru ini saya telah bermimpi nama saya dan dia di kepala seorang budak setelah saya meminta petunjuk dari Allah tentang hala tuju persahabatan saya dengan kawan lelaki itu. Apa nasihat Puan? Bagaimana petanda yang datang dalam mimpi itu..apakah ia benar atau sekadar mainan tidur? Bagaimana islam melihat berkenaan mimpi? Mohon pandangan.

 

     “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

 

Assalamualaikum w.b.t….

Adik yang dirahmati Allah,

Sebenarnya ilmu tafsiran mimpi ini bukan calang-calang orang yang memilikinya. Mimpi boleh jadi petunjuk dan boleh jadi mainan tidur. Walau bagaimanapun kita boleh kenal mimpi yang bagaimana merupakan petunjuk atau mainan tidur. Cara untuk kenal adalah dengan cara kita bersiap sedia untuk tidur.

 

 

Di sini akak sertakan artikel yang mungkin boleh menjawab persoalan adik ini. Apapun juga perhubungan adik dengan kawan lelaki itu, akak harap adik dapat menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Ingatlah bahawa syaitan sentiasa membisikkan lintasan-lintasan kepada hati bagi mendorong nafsu melakukan kemungkaran. InsyaAllah, Allah akan menentukan yang terbaik bagi adik.

“Solat Istikharah adalah solat sunat yang dikerjakan untuk meminta petunjuk Allah tentang perkara yg menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan. Ianya dikerjakan dua rakaat atau 12 rakaat(6 salam) pada bila-bila masa (selain waktu diharamkan bersolat), SEELOKNYA dilakukan di waktu sepertiga malam terakhir (antara pukul 3.00 hingga 5.00pagi)

lafaz niat:
 

“Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.”

 

Rakaat pertama: Baca Al-Fatihah dan Surah Al-Kafirun

Rakaat Kedua: Baca Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas

 

Ketika sujud akhir bacalah:
“Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yg telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”

selepas salam berdoa:
 

“Ya Allah, aku memohon petunjuk kebaikan kepada-Mu dengan ilmu-Mu. Aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu. Ya Allah, seandainya Engkau tahu bahwa perkara ini baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan jalan hidupku, jadikanlah untukku dan mudahkanlah bagiku dan berkatilah aku di dalam hal ini. Namun jika Engkau tahu bahwa hal ini buruk untukku, agamaku dan jalan hidupku, jauhkan aku darinya dan jauhkan masalah itu dari ku. Tetapkanlah bagiku kebaikan dimana pun kebaikan itu berada dan redhailah aku dengan kebaikan itu”.

 

Allah s.w.t akan memberi petunjuk dengan 3 cara:

 
Pertama: melalui mimpi (biasanya mimpi yang tidurnya dalam wudhu’, menghadap kiblat dan terjaga sebelum subuh)
Kedua: melalui perbuatan kita memilih.
Ketiga: melalui kemantapan hati kita untuk memilih.”

Adalah lebih elok selepas sahaja melakukan solat istikharah,terus tidur

 

Sebaiknya adik teruskan lakukan istikharah sehingga bertemu jawapan yang jelas dan meyakinkan.. kerana adakalanya petunjuk yang diberikan Allah tidak semestinya jawapan mutlak kepada persoalan adik…

 

Adik juga perlu bersabar dalam menantikan petunjuk, tidak terlalu terburu-buru.  Dengan kesabaran dan kesungguhan mengharap pertolongan dari Allah, pasti adik akan menemui jawapan yang hakiki.

 

Selain mimpi, mungkin ada beberapa petunjuk yang adik boleh kenal pasti seperti kecenderungan hati dan peristiwa yang berlaku di sekeliling adik.

 

Ujian-ujian perasaan sebegini, untuk mendekatkan adik dengan Allah, Dia sahaja yang dapat memberi rasa kecewa atau bahagia pada jiwa adik. Di samping solat istikharah, amalkan juga solat taubat dan tahajud, kerapkan zikir dan membaca Al-Quran, inilah antara sumber kekuatan jiwa.

 

Moga adik beroleh petunjuk sebaiknya.

 

 

 

Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”

 

 

:: Arkib Sahabat Kaunseling / JUNE-2007 ::

ADIK BERTANYA..”

Akak, saya telah melakukan satu kesalahan yang besar di sisi Allah . Saya amat tertekan. dan tiada siapa bersama saya. Saya merasakan bahawa hidup di dunia ini tiada makna lagi untuk saya . Tolonglah saya kak Nisa.

 

  

   “KAKAK NISA’ MENJAWAB..”

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.  Allah lebih memahami apa yang adik rasakan. Mungkin ketika ini adik rasa benci terhadap diri sendiri dan rasa Allah marah terhadap adik.

 

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….”

(at-Tahrim[66] : 8.)

 

Pada pandangan akak, di sebalik apa yang adik lakukan, jangan lupa hikmah yang Allah beri. Bersyukurlah Allah bagi peringatan kepada adik di dunia lagi supaya adik dapat bertaubat nasuha. Ingat, barangsiapa bertaubat nasuha, dia suci umpama bayi yang baru lahir. Jadi adik, jangan putus asa dengan rahmat Allah ya.

 

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang suka membersihkan diri.”

 (QS. Al Baqarah: 222)

 

Pintu taubat tak pernah tertutup buat hamba yang ingin kembali kepada Penciptanya. Setiap manusia Allah sudah tetapkan jalan cerita yang berbeza. Mungkin bagi adik, inilah kisahnya. Jangan mudah menyerah kalah, kerana perjuangan hidup takkan berakhir selagi Allah tak tamatkan. Jangan kita pula yang menamatkannya sebelum sampai masanya. Dan kita semua sebagai hamba perlu berusaha untuk mengakhiri hidup ini dengan jalan hidup yang Allah redhai, iaitu Husnul Khatimah. Selagi ada waktu, pastikan kita tabah menghadapi apa sahaja yang Allah tentukan untuk diri kita. Be positive! Insyaallah sedikit masa lagi, peristiwa ini akan berlalu. Teruskan pergantungan adik kepada Allah, kerana hanya Dialah kekuatan kita.

 

Di sini akak mungkin boleh beri beberapa cadangan penyelesaian yang akak harap sedikit sebanyak dapat membantu adik menghadapi situasi ini. Pertama sekali adik perlu memaafkan diri sendiri. Langkah memaafkan diri sendiri dapat menyelamatkan adik daripada memberi hukuman terhadap diri adik sedangkan Allah Maha Pengampun. Apa lagi yang kita harapkan selain daripada pandangan Allah?

 

Berbincanglah dengan seseorang yang adik boleh percayai kerana adik perlukan sokongan seseorang yang boleh membantu adik untuk bertindak secara rasional, bukan emosional. Adik perlu mengubati keadaan adik segera sebelum ianya menjadi lebih parah. Tetapi apapun, terpulang kepada adik sendiri siapakah yang adik rasakan orang yang boleh membantu adik menempuhi ini. Mungkin juga seorang guru/ustaz, atau sahabat adik sendiri. Yang penting adik boleh mendapatkan sokongan moral daripadanya.

 

Lakukan semuanya kerana mengejar redha Allah. Sekali lagi akak tekankan, Allah ada bersama kita. Dialah kekuatan, Dialah segala-galanya. Apa yang kita hendak, mintalah kepada Allah. Allah telah berjanji Dia tidak akan menghampakan permintaan hambaNya.

 

Elakkan diri daripada bersendirian dan jangan berhenti melakukan kebaikan yang pernah adik lakukan sebelum ini. Ini hanya akan menjatuhkan keyakinan adik dan seterusnya boleh memudharatkan masa depan adik, akibat terlalu memikirkan dosa adik. Ingatlah bahawa semua orang ada membuat dosa, tidak terkecuali walaupun seorang ulama terkemuka. Jika tidak, masakan kita dipanggil insan? Allah sahaja yang berhak menilai dan meletakkan darjat seseorang di sisiNya. Adik sudahpun menyesali perbuatan adik, dan berazam tidak melakukannya lagi, jadi tak perlulah adik memencilkan diri dari manusia kerana dosa lalu.  Istiqamahlah dengan amal soleh. Insyaallah amal adik yang istiqamah akan membantu adik untuk lebih hampir kepada Allah. Semoga Allah beri kekuatan dan keampunan kepada adik.

 

Pastikan masa adik dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti seperti zikrullah, bekerja, bersosial dan beriadah supaya adik tidak lagi merasai kesunyian. Biasanya kesunyian akan mendorong seseorang untuk melayani fikiran dan sangat cenderung memikirkan perkara-perkara negatif seperti angan-angan kosong, mengimbau kenangan-kenangan pahit dan sebagainya. Selalunya ianya akan berakhir dengan kemurungan, dendam, sangka buruk, serba salah, hilang keyakinan diri dan pelbagai kesan buruk yang boleh menggugat kesihatan mental dan spiritual.

 

Insyaallah, lambat laun adik akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang.  Mulakan menjalani hidup adik dengan yakin dari sekarang. Jadikan apa yang berlaku satu pengajaran dan pastikan ianya tidak berulang serta jangan jadikan ianya penghalang bagi adik untuk memajukan diri dan memiliki kehidupan yang baik di masa hadapan.

 

Ingatlah, Allah memberi ujian kepada seseorang mukmin agar lebih utuh imannya, bukan kerana Allah membenci. Dan dengan ujianlah cara Allah menunjukkan kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya. Mudah-mudahan apabila kita tersedar, kita akan kembali kepada Allah, dengan cara yang lebih baik dari sebelumnya.

 

 

 

 

Salam sayang.

Kakak NISA’ MALAYSIA

“Teman yang mendengar”