:: Arkib Sahabat Kaunseling / JUNE-2007 ::
Saya ada kawan. Baru-baru ini saya telah bermimpi nama saya dan dia di kepala seorang budak setelah saya meminta petunjuk dari Allah tentang hala tuju persahabatan saya dengan kawan lelaki itu. Apa nasihat Puan? Bagaimana petanda yang datang dalam mimpi itu..apakah ia benar atau sekadar mainan tidur? Bagaimana islam melihat berkenaan mimpi? Mohon pandangan.
Assalamualaikum w.b.t….
Adik yang dirahmati Allah,
Sebenarnya ilmu tafsiran mimpi ini bukan calang-calang orang yang memilikinya. Mimpi boleh jadi petunjuk dan boleh jadi mainan tidur. Walau bagaimanapun kita boleh kenal mimpi yang bagaimana merupakan petunjuk atau mainan tidur. Cara untuk kenal adalah dengan cara kita bersiap sedia untuk tidur.
Di sini akak sertakan artikel yang mungkin boleh menjawab persoalan adik ini. Apapun juga perhubungan adik dengan kawan lelaki itu, akak harap adik dapat menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. Ingatlah bahawa syaitan sentiasa membisikkan lintasan-lintasan kepada hati bagi mendorong nafsu melakukan kemungkaran. InsyaAllah, Allah akan menentukan yang terbaik bagi adik.
“Solat Istikharah adalah solat sunat yang dikerjakan untuk meminta petunjuk Allah tentang perkara yg menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan. Ianya dikerjakan dua rakaat atau 12 rakaat(6 salam) pada bila-bila masa (selain waktu diharamkan bersolat), SEELOKNYA dilakukan di waktu sepertiga malam terakhir (antara pukul 3.00 hingga 5.00pagi)
lafaz niat:
“Sahaja aku solat sunat istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.”
Rakaat pertama: Baca Al-Fatihah dan Surah Al-Kafirun
Rakaat Kedua: Baca Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhlas
Ketika sujud akhir bacalah:
“Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yg telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”
selepas salam berdoa:
“Ya Allah, aku memohon petunjuk kebaikan kepada-Mu dengan ilmu-Mu. Aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu. Ya Allah, seandainya Engkau tahu bahwa perkara ini baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan jalan hidupku, jadikanlah untukku dan mudahkanlah bagiku dan berkatilah aku di dalam hal ini. Namun jika Engkau tahu bahwa hal ini buruk untukku, agamaku dan jalan hidupku, jauhkan aku darinya dan jauhkan masalah itu dari ku. Tetapkanlah bagiku kebaikan dimana pun kebaikan itu berada dan redhailah aku dengan kebaikan itu”.
Allah s.w.t akan memberi petunjuk dengan 3 cara:
Pertama: melalui mimpi (biasanya mimpi yang tidurnya dalam wudhu’, menghadap kiblat dan terjaga sebelum subuh)
Kedua: melalui perbuatan kita memilih.
Ketiga: melalui kemantapan hati kita untuk memilih.”
Adalah lebih elok selepas sahaja melakukan solat istikharah,terus tidur
Sebaiknya adik teruskan lakukan istikharah sehingga bertemu jawapan yang jelas dan meyakinkan.. kerana adakalanya petunjuk yang diberikan Allah tidak semestinya jawapan mutlak kepada persoalan adik…
Adik juga perlu bersabar dalam menantikan petunjuk, tidak terlalu terburu-buru. Dengan kesabaran dan kesungguhan mengharap pertolongan dari Allah, pasti adik akan menemui jawapan yang hakiki.
Selain mimpi, mungkin ada beberapa petunjuk yang adik boleh kenal pasti seperti kecenderungan hati dan peristiwa yang berlaku di sekeliling adik.
Ujian-ujian perasaan sebegini, untuk mendekatkan adik dengan Allah, Dia sahaja yang dapat memberi rasa kecewa atau bahagia pada jiwa adik. Di samping solat istikharah, amalkan juga solat taubat dan tahajud, kerapkan zikir dan membaca Al-Quran, inilah antara sumber kekuatan jiwa.
Moga adik beroleh petunjuk sebaiknya.
Salam sayang.
Kakak NISA’ MALAYSIA
“Teman yang mendengar”

